
June 25th, 2010

admin
Huh, mengeluh panjang saya hari ni mengenangkan nasib. Apa taknya, naik segan bila berhadapan dengan pengetua, yang ditanyanya, “Kamil, macam mana dengan program 5S kita?”, saya menjawab errrrrr, masih dalam proses ustaz, tengah duk rancang lagi.
Kalau berjalan dan terserempak dengannya lebih baik tukar jalan nak elak daripada ditanyanya sekali lagi. Bukan nak mengelak dari tugas tetapi tak menang tangan kita dibuatnya. Itu nak buat, ini nak buat. Buat apa yang termampu ja. Kalau tidak dibuat begitu, tak fokus kita pada P&P dan akhirnya pelajar yang jadi mangsa.
Minggu depan ada, program Anugerah Cemerlang Idul Ilmi, grand jugak la eventnya, perasminya Pengarah IAB utara. Huh, satu lagi…………….

June 22nd, 2010

admin
Nak saya ceritakan disini, malam semalam seorang ustaz dari sekolah saya berjumpa dengan seorang doktor. Ceritanya anaknya demam panas lalu pergi la ke klinik seorang doktor yang dikatakan pejuang agama ni. Dengan cuaca yang hujan dibawanya semua ahli keluarganya, 3 orang anak termasuk yang demam.
Pukul 9.30 hujan agak renyai-renyai lalu ustaz tersebut mengambil keputusan untuk ke klinik tersebut. Doktor di klinik itu bukanlah calang-calang orang, beliau pernah berkhidmat keluar negara membantu mangsa-mangsa keganasan rejim zionis. Pernah bersama-sama berkhidmat dengan Dr Sheikh Muzaffar Syukor.
Sesampai saja ustaz tadi di klinik tersebut, diangkat anaknya satu persatu dibawa ke koridor klinik berkenaan. Terus dibawanya anak yang demam itu untuk berjumpa doktor, sesampai saja di pintu masuk bilik rawatan, doktor tersebut keluar bersama beg bimbitnya, terus doktor itu mengucapkan “cukup,cukup,cukup, saya dah nak balik”. Dan terus meninggalkan anak kecil yang sakit itu tanpa langsung memandangnya. Hancur luluh perasaan ustaz tadi mengenangkan nasib yang menimpanya. Dalam hatinya ada terlintas untuk mengatakan “baik tak payah jadi doktor, pergi ceramah lagi baik”. Doktor tersebut merupakan seorang penceramah agama dan memang agak terkenal bagi mereka yang mengetahuinya.
Berlalu begitu sahajalah peristiwa ustazĀ tersebut dengan membawa anaknya yang masih demam panas ke klinik lain. Beginikah sikap seorang yang bergelar doktor dan juga penceramah terkenal??? Apakah pandangan anda???
***Peristiwa ini berlaku di Pendang dan diceritakan kembali oleh Ustaz tersebut kepada guru-guru sekolahnya.

June 21st, 2010

admin
Dalam menilai personaliti pelajar, Parlett dalam satu kajiannya membahagikan personaliti pelajar itu kepada dua iaitu konvergen dan divergen.
Personaliti pelajar konvergen tertumpu kepada nilai-nilai positif berbanding pelajar divergen. Pelajar konvergen bersifat skematik iaitu kebergantungan kepada silibus yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian. Pelajar ini akan mengikut jadual yang telah ditetapkan, suka menyiapkan kerja sekolah yang diberikan guru, membalut buku teks, sentiasa tumpu perhatian pada kelas dan sentiasa mendengar arahan guru.
Bagi pelajar divergen, mereka mempunyai kelebihan tersendiri, adakalanya dikatakan sebagi genius. Sifat mereka dikatakan kearah negatif tetapi masih mengekalkan matlamat pada tahap optimum. Sebagai contoh mereka tidak suka dikongkong, tidak suka menyiapkan kerja yang diberikan guru, mereka tidak suka diajar-ajar tetapi mereka lebih kepada berfikiran sendiri. Mereka suka duduk di bahagian belakang kelas. Idea mereka lebih gila-gila dan seronok. Tidak suka mengikut arahan. Mereka sukakan kebebasan tetapi result exam mereka extream.
Dalam sesi pengajaran, saya telah mengenalpasti beberapa pelajar yang berpersonaliti divergen. Antara sifat mereka yang saya lihat adalah selalu tidur dalam kelas, mengganggu rakan sekelas tetapi mereka ini kerap bertanya semasa saya sedang mengajar didepan. Baru-baru ini pelajar divergen tersebut telah menunjukkan keputusan yang sangat baik berbanding pelajar konvergen. Dia mendapat 34/40 daripada kertas 1 matematik. Hanya salah 6. Begitulah kemampuan seseorang yang bergelar divergen, sukar dijangkakan..

June 20th, 2010

admin
Huh. mengeluh panjang saya hari ini mengenangkan sikap sebilangan pelajar sekolah yang langsung tidak ada kesedaran untuk belajar. Tajuk ini bukan tujuannya untuk menidakkan hak pelajar untuk belajar walaupun tanggungjawab dan amanah telah diberi kepada guru tetapi satu persoalan timbul, apa pula peranan dan tanggungjawab pelajar untuk menuntut ilmu seperti yang diamanahkan oleh ibubapa masing-masing?
Baru tadi saya masuk kelas untuk membincangkan soalan KHB pada Peperiksaan Pertengahan Tahun, pening kepala saya dibuatnya. Rata-rata daripada 29 pelajar kelas tersebut, hanya kurang 10 orang sahaja yang membawa kertas soalan untuk dibincangkan.
Ditambah pula pada Perhimpunan Mingguan pagi tadi, Penolong Kanan amat dukacita melihat rekod kedatangan pelajar yang datang untuk mendengar sesi Kaedah Menjawab Soalan Peperiksaan. Amat Mendukacitakan…. RM100 dibayar bagi setiap jam kepada si penceramah yang hadir. Amat malang, kehadiran pelajar yang hadir pula sangat-sangat mengecewakan. Kenapakah ini berlaku pada bangsa kita. Adakah kerana budaya kuning yang telah menusup masuk pada sanubari mereka.

April 18th, 2010

admin
Salam Hormat
Maaf kepada pengujung semua kerana sudah lama blog ini tidak di update. Bukan apa, cuma saya agak sibuk kebelakangan ini dek pelbagai aktiviti yang perlu dilaksanakan di sekolah.
Isu yang saya ingin sampaikan disini adalah amat penting kepada bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan perniagaan, tak kiralah online ataupun offline.
Apa pendapat anda tentang isu ini?
Bagi sesetengah pihak, mungkin perkara ini tidaklah begitu serius untuk difikirkan. Akan tetapi kesannya sangatlah besar terhadap mereka yang benar-benar faham akan kepentingan seorang mentor.
Tidak dinafikan bahawa, seseorang yang berpengalaman luas dalam sesuatu perniagaan tidak akan berjaya melainkan mempunyai seorang mentor.
Mentor merupakan orang yang berpengalaman dalam sesuatu perkara yang diceburi. Oleh itu, sebagai seorang yang bijak, adalah disarankan supaya kita mencari seorang mentor sebelum memulakan sesuatu perniagaan.
Mentor bukan sahaja akan memberi panduan kepada kita terhadap sesuatu perkara, malah mereka boleh dijadikan tempat rujukan sekiranya kita menghadapi masalah dalam sesuatu perniagaan.
Berbanding sekiranya kita mencari pengalaman sendiri, ia mungkin memakan lebih banyak masa dan membuatkan kita kurang bermotivasi.